Presidennya, Prof Datuk Dr Azizan Abdullah berkata, pemain dan jurulatih perlu memberi komitmen sepenuhnya jika mahu UiTM FC memenangi piala yang diharapkan itu.

"Kalau boleh, saya tidak mahu ada yang memandang kelab bola sepak dari universiti awam ini sebuah pasukan belasahan. Saya tidak mahu itu berlaku, jadi, saya pasti pemain dapat memberi persaingan terbaik kepada pasukan lain.

"Sebagai presiden baharu, saya mahu UiTM FC akan terus maju dan dapat bermain pada Liga Super iaitu liga utama dalam Liga Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra UiTM FC bersama presiden di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UiTM FC, Dr Mohd Baharin Othman; Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad dan barisan anggota Exco UiTM FC serta pemain.

Dalam pada itu, Azizan yang baharu dilantik sebagai presiden kelab berkenaan pada 1 Mac lalu berkata, UiTM FC seharusnya menjadi pasukan contoh dalam semua aspek pembangunan bola sepak negara.

"Ia termasuk aspek pengurusan, kejurulatihan, sains sukan, pemasaran dan yang penting kejayaan dari segi prestasi pasukan dalam liga diceburi," katanya. - BERNAMA