Bekas jurulatih Perak itu berkata, walaupun UiTM FC beraksi dalam divisyen dua, namun, kualiti permainan yang ditunjukkan mereka setanding pasukan dari Liga Super.

“Saya fikir, jurang antara pasukan Liga Super dan Liga Perdana tidak terlalu jauh. Melainkan lima pasukan terbaik Liga Super. Bagi saya, pemain import memainkan peranan mereka setiap perlawanan.

“Tidak dinafikan, import kami memang tidak menunjukkan aksi konsisten. Nama liga sahaja yang membezakannya sebab jika keazaman pemain itu sendiri tinggi tidak mustahil, apa-apa boleh terjadi dalam bola sepak.

“UiTM ada pemain berkualiti terutamanya Zarko Korac yang banyak menjaringkan gol dalam kempen Liga Perdana. Kami perlu fokus, kalau memandang rendah lawan, habislah kami sebab UiTM FC juga mahukan kemenangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

PKNP FC memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kiri setelah tumpas 1-2 kepada PJ City FC di tempat lawan, Sabtu lalu.

Abu Bakar turut menyuarakan kebimbangan terhadap kepincangan benteng pertahanan skuad bimbingannya apabila gawang mereka dibolosi sebanyak 40 kali sepanjang aksi liga, musim ini, dan menyebabkan pasukan itu jatuh ke Liga Perdana, musim depan, setelah menduduki tangga ke-11.

“Saya risau dengan benteng pertahanan. Pemain perlu fokus. Berjumpa UiTM FC bukan tugas mudah, mereka tiada tekanan sebagai pasukan underdog,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE