Penglibatan Presiden PFA Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dalam pertemuan itu bertujuan mencari penyelesaian terbaik supaya Perlis dapat memberi tumpuan menghadapi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas itu.

Timbalan Presiden PFA Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata PFA akan menggunakan peluang yang diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL bagi menyelesaikan tunggakkan gaji pemain berkenaan dalam tempoh 60 hari dengan cara terbaik.

"Presiden berharap perbincangan kali ini akan mencapai keputusan yang memuaskan kedua-dua pihak," katanya kepada media di sini, hari ini.

Mohd Abdul Karim Khan mengulangi jaminan bahawa PFA tidak pernah lepas tangan berkaitan tunggakan gaji pemain selama sembilan bulan sejak Mac tahun lepas berjumlah RM460,000.

Sementara itu dalam majlis pelancaran jersinya di sebuah hotel di sini malam tadi, Perlis Northern Lions 2019, PFA turut memperkenalkan tiga pemain importnya yang telah menandatangani kontrak iaitu Masaki Watanabe dari Jepun dan dua pemain dari Brazil, Wellington Cirino Priori dan Valci Teixeira Jr.


Ketua jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahid berkata beberapa perlawanan persediaan yang diadakan dengan menggabungkan pemain berpengalaman seperti Safee Sali, Mohd Badhri Mohd Radzi bersama pemain junior menampakkan hasil memberansangkan.


"Saya yakin kehadiran tiga pemain import akan mengukuhkan barisan kita dan saya berharap keserasian antara mereka akan lebih menyerlah dalam aksi sebenar kelak," tambahnya.- BERNAMA