Jurulatih The Fighters Mohd Nidzam Jamil berkata pertukaran dilakukan bagi menyesuaikan corak persembahan anak buahnya dalam usaha mengekang pasukan pelawat, Kuala Lumpur pada perlawanan timbal balik di Stadium Tun Abdul Razak, semalam.

"Ada pihak mengatakan kami tidak banyak menyerang dan melakukannya hanya pada 15 minit pertama menerusi penyerang import Khairul Amri Mohd Kamal yang terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama kerana kecederaan.

"Abdul Azim Rahim juga perlu dikeluarkan pada separuh masa kedua apabila kita menukar kepada pelan asal kerana perlu lebih banyak bertahan memandangkan gerakan Kuala Lumpur datang dari tengah," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada perlawanan suku akhir kedua semalam menyaksikan Felda United mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengikat Kuala Lumpur 0-0 sehingga tamat perlawanan.

Bagaimanapun, skuad kendalian Mohd Nidzam itu layak dengan kelebihan jaringan di tempat lawan dengan agregat 3-3 apabila turut mencatat keputusan seri pada perlawanan pertama, 1 Mei lepas.

Dalam pada itu, Mohd Nidzam memuji prestasi dan semangat juang yang dipamerkan anak buahnya walaupun tanpa pemain utama yang direhatkan.

Beliau berharap Khairul Amri, Muhammad Hadin Azman dan pemain tengah Jasazrin Jamaluddin segara pulih dari kecederaan masing-masing sebelum aksi separuh akhir.

Sementara itu, pengendali skuad Kuala Lumpur Chong Yee Fatt pula mengakui Felda United bijak mengekang serangan barisan hadapannya sehingga keputusan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Walaupun tewas, Chong menyifatkan aksi skuad The City Boys semakin baik, namun berkata nasib tidak menyebelahi mereka pada perlawanan semalam.

"Saya berasa agak sedih kerana pemain telah berusaha gigih dan bermain dengan baik. Walaupun terkeluar, mereka perlu mengekalkan corak permainan seperti ini dalam Liga Super untuk memperbaiki kedudukan pasukan," katanya.- BERNAMA