Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors Sdn. Bhd., Ahmad Fadli Mohammad berkata, walaupun ramai beranggapan Mohd. Badhri atau Piya sudah berusia namun dia tetap optimis pemain itu mempunyai ‘aura’ yang mampu mengubah prestasi TRW ketika ini.

Menurutnya, Piya masih mempunyai ‘magis’ yang diperlukan oleh Kelantan untuk mampu membimbing barisan muda bagi mengharungi saingan Liga Primier musim ini.

“Keputusan ini (ambil Piya) agak berisiko, namun saya anggap ia satu cabaran buat KRW Sdn. Bhd. dalam proses pembinaan semula pasukan.

“Bagi saya, usia Piya nombor dua. Apa yang penting pengalaman dan hantaran ‘maut’ pemain itu mampu bantu pasukan,” katanya.

Ahmad Fadhli memberitahu, proses pendaftaran Piya sudah dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, jika tiada halangan Piya dijangka menjalani latihan selewat-lewatnya Khamis ini.

“Kelantan memerlukan seorang ‘playmaker’ untuk menghidupkan bahagian tengah dan keputusan membawa masuk semula Piya tepat pada masanya,” katanya.

Piya kembali berada dalam perancangan TRW selepas mengikat kontrak dengan KRW Sdn. Bhd secara rasmi malam tadi.

Musim 2018 menjadi detik hitam buat pemain berjersi No.16 itu apabila dia digugurkan secara mengejut oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada pertengahan musim.

Penguguran itu sekaligus menenggelamkan kerier anak kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu dalam arena bola sepak.

Bagaimanapun, kerier bekas pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013 kembali bernyawa apabila Perlis melamarnya untuk memperkuatkan pasukan itu bagi musim 2019.

Namun Perlis disingkirkan dari saingan Liga Primier ekoran masalah kewangan yang kronik.

Musim 2012, Piya antara salah seorang tonggak yang membantu Kelantan merangkul kejuaraan tiga piala. - UTUSAN ONLINE