Tony menegaskan, ketika ini tumpuan beliau adalah kepada pembangunan pasukan Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) FC yang dulu dikenali sebagai AirAsia FC dan menerajui badan induk bola sepak negara itu tidak akan ber­ada dalam fikirannya dalam masa terdekat.

“Saya tidak fikir sekarang adalah masa yang sesuai untuk menjadi Presiden FAM kerana saya perlu melakukan pembangunan di peringkat bawah lebih dahulu.

“Biar saya bangunkan dahulu pasukan PJ Rangers dan cuba mencapai beberapa kejayaan baru fikir mengenai jawatan pre­siden. Dalam masa terdekat ini saya belum bersedia lagi,” kata­nya dalam majlis memperkenalkan barisan pemain PJ Rangers FC di sini hari ini.

Pada September lalu, pemilik kelab England, Queens Park Rangers (QPR) itu menyatakan kesediaan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Pre­siden FAM, namun menarik balik hasrat tersebut setelah beberapa pihak berpendapat bahawa beliau bukan calon yang sesuai.

Antara calon lain yang dikaitkan dengan kerusi No. 1 FAM itu adalah pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa serta tokoh korporat terkemuka negara Datuk Seri Idris Jala.

Bagaimanapun Tunku Ismail tidak berminat untuk bertan­ding dalam Kongres FAM ke-53, sebaliknya mencadangkan nama Pengerusi Jawatankuasa Intergriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat sebagai calon bagi menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tony, 52, berharap selepas pe­ngunduran Tengku Abdullah, jawatan tersebut akan terus disandang oleh individu yang mencintai dan memahami bola sepak.

“Saya harap Presiden FAM nanti seorang yang mencintai dan betul-betul mahu membangunkan bola sepak.

“Bukan daripada kalangan menteri, kerabat diraja atau ahli perniagaan. Individu itu harus seseorang yang memahami bola sepak,” ujarnya.

Sementara itu, dalam majlis yang berlangsung di ibu pejabat AirAsia, Tony selaku Pengerusi Kelab AirAsia Allstars Football Club (AirAsia FC) mengumumkan penjenamaan semula kelab tersebut yang akan dikenali sebagai PJ Rangers.

Kelab itu akan diperkuatkan oleh 22 pemain baharu dalam persediaannya untuk menghadapi Liga FAM musim depan.

Pasukan itu akan dikendalikan oleh Mat Zan Mat Aris selaku ketua jurulatih setelah Melaka United tidak menyambung kontraknya meskipun membimbing mereka mara ke Liga Super.

Skuad tersebut telah memulakan latihan pada Khamis lalu di Stadium MMU, Cyberjaya dan akan memgadakan perlawanan persahabatan di Indonesia sebelum membuka kempen liga pada 28 Januari depan.