Bagaimanapun, Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, dalam bola sepak, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku dan pemain skuad Tok Gajah sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk mengharungi perlawanan penting tersebut.

“Kita hadir ke Larkin (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) sebagai pasukan underdog dan kita menghormati JDT sebagai sebuah pasukan yang kuat dalam saingan Liga Malaysia.

“Kesemua pemain telah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan suku akhir kedua berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 6 April lalu, skuad Tok Gajah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan skuad Harimau Selatan pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur.

Dengan keputusan itu, Pahang terpaksa memilih laluan berliku untuk menempuh aksi timbal balik di Larkin terutama bermain di hadapan puluhan ribu penyokong fanatik JDT.

Mohammed Suffian berkata, perlawanan suku akhir kedua berkenaan amat penting dan boleh diibaratkan sebagai pertemuan El Clasico.

“Sebelum ini kita berdepan dengan masalah kecederaan pemain membabitkan kapten, Matthew Davies dan pemain tengah dari Singapura, Safuwan Baharuddin.

“Namun, kedua-dua pemain itu telah pulih sepenuhnya dan akan kembali beraksi. Pemain lain juga dalam keadaan baik dan bersemangat untuk beraksi,” ujarnya.