Dengan keputusan itu, Pahang terpaksa memilih laluan berliku untuk menempuh aksi timbal balik di Larkin terutama bermain di hadapan penyokong fanatik Harimau Selatan.

Sebelum wisel perlawanan bermula, suasana di Stadium Darul Makmur cukup meriah ibarat perlawanan akhir apabila dipenuhi kira-kira 30,000 penyokong terutamanya penyokong tuan rumah.

Bermula separuh masa pertama, Pahang terlebih dahulu melakukan asakan ke kubu JDT, namun, gandingan Mohamadou Sumareh dan Patrick Cruz gagal menembusi pertahanan kental JDT yang diketuai, Marcos Antonio.

Usaha melancarkan sera­ngan ke kotak penalti Harimau Selatan, berjaya dipatahkan anak-anak buah Raul Longhi.

JDT turut memperoleh peluang keemasan bagi merobek gawang tuan rumah pada minit ke-39, namun, sepakan percuma Safiq Rahim terkena palang gol. Selang tiga minit selepas itu, JDT sekali lagi memiliki peluang terbaik menjaringkan gol.

Bagaimanapun, tandukan kencang Mohamad Fadhli Shas yang menyambar bola sepakan sudut diambil Safawi Rasid berjaya ditepis penjaga gol Tok Gajah, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Skuad bimbingan Dollah Salleh bermula garang pada babak kedua apabila Chan Vathanaka melakukan rembatan deras setelah menerima hantaran Cruz pada minit ke-55, namun percubaan itu ter­kena tiang gol. Sehingga wisel penamat dibunyikan keputusan kekal seri 0-0.