Selaku juara bertahan, skuad kendalian Dollah Salleh perlu memenangi perlawanan itu untuk mencari bekalan selesa sebelum mengharungi aksi timbal balik di Kuantan pada 10 Mei.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pasukannya perlu membuat persiapan rapi sebelum berdepan TFC I agar misi mencari kemenangan di tempat lawan menjadi kenyataan.

"Kita bukan sahaja mahu menang malah perlu mendapatkan jaringan sebanyak mungkin untuk bekalan aksi timbal balik.

"Jentera serangan perlu memainkan peranan penting dengan memanfaatkan semua peluang yang terhidang di hadapan gol," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohammed Suffian, Tok Gajah akan menggunakan khidmat Norshahrul Idlan Talaha dan Ze Love di bahagian hadapan kerana Nwakaeme tidak dapat beraksi ekoran mengalami kecederaan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) tiga hari lalu.

"Kita juga mungkin kehilangan pemain tengah dari Singapura, Muhammad Safuwan Baharuddin yang masih belum pulih daripada kecederaan buku lali," ujarnya.

Beliau memberitahu, semua pemain perlu mengelak daripada bermain dalam keadaan tertekan bagi mengelak TFC I selesa mengawal permainan.

"Saya harap semua pemain mempamerkan corak permainan lebih meyakinkan di semua posisi agar kita tidak pulang dengan tangan kosong" jelasnya. - UTUSAN ONLINE