Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan kegagalan pemainnya memanfaatkan kelebihan beraksi dengan 10 pemain JDT sepanjang lebih 45 minit apabila sekadar seri 1-1.

“Kita seharusnya bermain dengan lebih agresif apabila mempunyai kelebihan itu, tetapi malangnya pemain terlalu berhati-hati sehingga saya terpaksa meminta mereka untuk menunjukkan prestasi sebenar.

“Separuh masa pertama kedua-dua pasukan beraksi dengan baik dengan sama-sama mencipta peluang, cuma kita leka pada awal permainan. Namun kita bangkit untuk menyamakan kedudukan jaringan.

“Cuma dalam separuh masa kedua, JDT bermain dengan 10 orang, kita pula ubah corak bermain. Saya tidak sangka pemain seperti hendak bermain lebih berhati-hati. Sepatutnya kita mengambil kelebihan yang ada tetapi tidak berbuat demikian, sebab itu saya berasa kecewa sedikit,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu, Tok Gajah dikejutkan seawal minit kelima apabila pemain import Harimau Selatan, Gonzalo Cabrera menolak masuk bola menewaskan penjaga gol, Helmi Eliza Elias.

Pertahanan Pahang, Herold Mark Goulon menceriakan penyokong tuan rumah apabila tandukannya menerusi hantaran sepakan percuma Saddil Ramdani pada minit ke-35, berjaya menghasilkan gol penyamaan.

JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mauricio Nascimento dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua selepas mengkasari Dickson Nwakaeme pada minit ke-45. - UTUSAN ONLINE