Dalam aksi di Stadium Hang Jebat, pemain berusia 32 tahun itu memperoleh sekurang-kurangnya dua peluang keemasan iaitu percubaan pada minit ke-29 yang terkena palang selain rembatan kencang pada minit ke-43 yang diselamatkan penjaga gol lawan.

“Kita tidak ada rezeki walaupun semua telah sedaya upaya mempamerkan yang terbaik untuk menang, ada banyak kali kita cuba lakukan percubaan tapi tidak bola tidak kena gol dan kita kalah 1-0 kepada mereka.

“Seperti kita tahu, Krygyzstan mempunyai ranking lebih baik dan berbeza dari Sri Lanka tetapi kita berjaya cipta beberapa peluang, selain mengawal permainan cuma tidak dapat raih kemenangan,” katanya ketika ditemui semalam.

NorShahrul yang lebih dikenali dengan nama Mat Yo itu juga bertekad untuk bekerja keras dan meningkatkan prestasi untuk merebut peluang untuk beraksi dalam Piala AFF Suzuki 2018 yang bermula 8 November depan.

Sementara itu kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Razak berkata, biarpun kalah, semua pemain telah memberi yang terbaik dengan tempoh latihan yang singkat.

Dia juga berharap rakan-rakan sepasukannya dapat meneruskan momentum dalam perlawanan seterusnya menentang Maldives, 3 November depan sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki.

“Saya berterima kasih kepada pasukan. Walaupun bukan senang bermain dengan lawan yang mempunyai ranking lebih baik dan kita tidak boleh berikan ia sebagai alasan namun semua telah berusaha bersungguh-sungguh.

“Saya akui sebagai penyerang kita tidak boleh cepat berpuas hati dan berputus asa untuk terus cuba memberi yang terbaik dan berharap beberapa kelemahan dapat diperbaiki kerana pemain hanya manusia biasa yang tidak lepas melakukan kesilapan,” katanya.

Krygyzstan menghuni ranking ke-191 dunia manakala Malaysia di tangga ke-171. - UTUSAN ONLINE