Kata Nidzam, kemenangan itu hasil perancangan rapi barisan kejurulatihan memandangkan dia menghadiri kursus kejurulatihan Lesen Profesional Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersama beberapa jurulatih lain di Hotel Armada, Petaling Jaya sejak beberapa hari lalu.

“Saya ingin berterima kasih kepada pembantu saya iaitu jurulatih Zahid, Khairul, Azlisham yang menjaga pasukan selama beberapa hari, dan mereka akan terus membuat perancangan untuk pasukan Felda termasuk mengendalikan sesi latihan sepanjang ketiadaan saya sehingga 17 Julai ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nidzam menjelaskan skuad ‘The Fighters’ perlu meraih keputusan positif dalam tiga baki perlawanan liga menentang PKNP FC, Pahang dan Kedah untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

Felda United kini menduduki tangga ke-11 daripada 12 pasukan dengan kutipan 15 mata selepas 19 perlawanan setakat ini.

Sementara itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus berkata, dia kesilapan individu menjadi punca kekalahan pasukannya, namun memuji persembahan segelintir pemain yang mempamer aksi cemerlang.

Bekas pemain kebangsaan itu bekata, peluang skuad warga kota untuk kekal dalam Liga Super musim depan kelihatan sukar, namun menaruh keyakinan pasukannya akan berusaha keras untuk memburu keputusan positif dalam dua baki saingan menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim dan Perak.

“Realitinya memang sukar di atas kertas tetapi kita kena teruskan juga dan kami mungkin mengharapkan keajaiban pada dua baki perlawanan ini dan kita tengok apa yang akan terjadi selepas ini,” jelas Roslee.

Kuala Lumpur menghampiri zon penyingkiran ke Liga Perdana musim hadapan selepas menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan dengan kutipan 14 mata selepas 20 perlawanan setakat ini. - BERNAMA