Pemain import dari Ivory Coast itu, berkata pemain TFC telah menampilkan prestasi terbaik pada tiga perlawanan terakhir liga sebelum ini, dengan menewaskan Kuala Lumpur (3-1) dan PKNS FC (2-1) dan bangkit daripada ketinggalan mengikat Kedah 2-2.

“Dalam tiga perlawanan terakhir ini, kita seperti mendapat semangat baharu untuk berjuang sehingga ke minit-minit akhir bagi memburu gol.

“Jika semangat ini terus ada pada setiap pemain, tidak mustahil TFC mampu meraih kemenangan menentang Pahang di laman sendiri,” katanya ditemui dalam program penaja GLE Centre Entreprise, iaitu pengeluar kopi Super Jantan, bersama pemain TFC di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.

Pada majlis itu, Pengarah Urusan GLE Centre Entreprise, Mohd Zulkifli Harun yang menaja sebanyak RM100,000 kepada TFC musim ini, memberikan suntikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum bertemu Pahang.

Selepas mengharungi 20 perlawanan dengan berbaki dua aksi liga, TFC menduduki tangga ketujuh setelah mengumpul 28 mata.

Dalam pada itu, Tchetche yang muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia musim 2018, berkata pemain TFC bertekad bermain bermati-matian dalam dua perlawanan terakhir liga bagi menempatkan mereka dalam kelompok empat terbaik dalam carta kedudukan pasukan musim ini.

“Kita sedar bakal berdepan dua pasukan gergasi Liga Malaysia, Pahang dan juara liga musim ini, Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan terakhir 19 Julai ini.

“Tetapi kita masih berpeluang melonjak ke kedudukan lebih baik memandangkan kutipan mata antara pasukan tempat ketiga hingga ketujuh tidak banyak beza, malah ada yang dibezakan dengan satu mata,” katanya.

TFC dilihat masih berpeluang untuk mengintai empat teratas liga jika mampu menundukkan Pahang dan JDT pada dua perlawanan terakhir Liga Super itu. - BERNAMA