Tandukan Matt Hummels menyingkirkan Perancis daripada suku akhir di Brazil dua tahun lalu, sekali gus membuka laluan kepada Jerman muncul juara dunia buat kali keempat.

Malah, pemain Perancis juga masih dihantui kekalahan kepada lawan yang sama dalam separuh akhir Piala Dunia 1982, yang dicemari insiden ganas penjaga gol lawan, Harald Toni Schumacher terhadap pemain mereka, Patrick Battiston.

Giroud yang meledak dua gol ketika membantu Perancis menyingkirkan Iceland 5-2 pada suku akhir di Stade de France, awal pagi tadi percaya, pertemuan dengan Jerman kali ini berbeza sama sekali dengan pertemuan mereka sebelum ini.

“Perlawanan kali ini pasti sengit kerana kami mempunyai keazaman tinggi untuk membalas dendam atas kekalahan pada Piala Dunia.

“Jerman pasukan yang hebat kerana mereka turun selaku juara dunia dan sering menamatkan saingan dalam kedudukan empat terbaik pada kejohanan utama.

“Namun, saya bangga dengan pencapaian Perancis dan harap kami dapat meneruskan rentak kemenangan apabila bertemu Jerman di separuh akhir,” kata Giroud.

Berbanding Jerman, yang dihimpit isu kecederaan pemain selepas kehilangan penyerang utama, Mario Gomez, Perancis sebaliknya tidak berdepan masalah tonggak.

Jerman juga belum pasti dapat menggunakan penggerak utama bahagian tengah iaitu Sami Khedira dan kapten, Bastian Schweinsteiger akibat kecederaan.

Begitupun, jurulatih Perancis, Didier Deschamps tidak melihat perkembangan itu sebagai satu kelebihan buat pasukannya.

“Jerman adalah pasukan terbaik dunia dan perkara itu tidak perlu diragui.

“Namun, kami kini antara empat pasukan terbaik Eropah dan kami akan turun dengan sepenuh hati,” kata Deschamps.

Dalam aksi hari ini, dua jaringan Giroud pada minit ke-12 dan 59 sudah cukup untuk menjadikannya pemain terbaik perlawanan.

Tiga lagi jaringan tuan rumah disempurnakan oleh pemain sensasi Juventus, Paul Pogba (minit ke-20), Dimitri Payet (minit ke-43) serta penjaring terbanyak Euro 2016, Antoine Griezmann pada minit ke-45.

Kolbeinn Sigthorsson dan Birkir Bjarnason mencemaskan penyokong Perancis buat seketika apabila berjaya membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-56 dan 84.

“Kami sudah berpuas hati apabila menjaringkan lima gol, tetapi Iceland tidak pernah berputus asa. Mereka terus berjuang dengan penuh keberanian.

“Saya ingin memberi penghormatan kepada lawan kami. Mereka mengharungi Euro 2016 yang menakjubkan,” kata Giroud. – AGENSI