Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, hanya pemain yang benar-benar berkualiti layak menyarung jersi Harimau Malaya.

Katanya, FAM memiliki kumpulan teknikal bagi mengkaji dan memastikan pengambilan pemain asing benar-benar memberi kesan positif terhadap prestasi negara dalam jangka masa pendek, sederhana serta panjang.

"Sama ada ambil seorang atau dua tiga pemain naturalisasi itu bergantung kepada kumpulan kajian teknikal kita.

"Kita mengikut peraturan. Sekiranya kita mengambil lima pemain naturalisasi, apakah akan menjejaskan pemain tempatan? Rasanya tidak," katanya dalam sidang akhbar semasa lawatan bersama Exco FAM ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang di sini hari ini.

Menurut Hamidin, FAM akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk meneruskan perbincangan mengenai pelan pengambilan pemain naturalisasi tersebut bagi memperkuatkan skuad kebangsaan. - UTUSAN ONLINE