Menurut akhbar Itali, TuttoSport, keputusan sama ada Suarez, 31, akan menyertai kelab Turin itu bergantung kepada perkembangan Neymar yang masih cuba dibawa pulang oleh Barcelona dalam masa terdekat.

Skuad Catalan itu terdesak untuk mendapatkan semula pemain Brazil tersebut dan kini sedang melakukan rundingan serius dengan Paris-Saint Germain (PSG).

Kata TuttoSport lagi, rundingan di antara Juventus dan Barcelona juga sedang berjalan dan hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan.

Kehadiran Antoine Griezmann ke Camp Nou musim ini menyebabkan peluang Suarez untuk diturunkan terhad seandainya Neymar turut kembali ke pangkuan Barcelona.

Penyerang sensasi Uruguay itu dikeluarkan ketika Barcelona kalah mengejut 0-1 kepada Atheltic Bilbao dalam aksi pembukaan La Liga pada 17 Ogos lalu.

Ousmane Dembele juga diketepikan selama lima minggu akibat kecederaan hamstring ketika beraksi pada perlawanan yang sama.

Seandainya perpindahan Suarez ke Juventus menjadi kenyataan, gandingannya bersama penyerang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo pasti mencuri tumpuan. – AGENSI