Solskjaer, bekas penyerang United hanya mempunyai dua hari untuk menyediakan barisan terbaik bagi menghadapi perlawanan pertamanya sebagai pengurus sementara.

Marcus Rashford membuka jaringan pada minit ketiga dan satu gol daripada Ander Herrera sejurus sebelum setengah jam memberikan mereka pendahuluan 2-0.

Cardiff merapatkan satu gol menerusi penalti Victor Camarasa pada minit ke-38 tetapi Anthony Martial mengembalikan kelebihan dua gol beberapa minit kemudian dan dua gol daripada Jesse Lingard dalam babak kedua mengukuhkan kedudukan jaringan.

United menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan Liga Perdana buat kali pertama sejak perlawanan terakhir Alex Ferguson pada Mei 2013.

“Bola sepak itu mudah jika anda ada pemain-pemain yang bagus,” kata pengurus sementara warga Norway itu. “Mereka merupakan sekumpulan pemain hebat dan kualiti mereka menakjubkan.”

“Saya tiba malam hari Rabu dan hanya ada Khamis dan Jumaat dengan pemain-pemain. Wayne Rooney mengutus saya mesej dan memberikan saya beberapa nasihat – jadi itu mesti hasil ilhamnya.

“Dia beritahu saya supaya buatkan mereka bermain bola sepak, seronokkan diri mereka dan jadilah Manchester United.”

Solskjaer berkata, dia telah mengusahakan corak-corak permainan dan bertumpu kepada membawa fulbek Ashley Young dan Luke Shaw untuk mengasak lebih jauh di padang.

“Kadar kerja anda merupakan perkara termudah untuk diusahakan,” katanya.

“Itu bebas. Itulah sikap dan penerapan oleh pemain-pemain.

“Jika kita dekati semua perlawanan seperti ini – dan kita mahukan mereka mendekati semuanya seperti ini – dengan gabungan permainan dan memainkan bola ke depan maka saya akan gembira.

“Asasnya ialah pada bertahan hari ini. Saya fikir dua bek tengah dan dua fulbek menyerlah hari ini.”

Dia berkata, dia tidak gentar dengan jurang lapan mata antara United dan empat teratas.

“Saya bangga dan merendah diri dengan sambutan para peminat, itu menyentuh perasaan sepanjang minggu,” katanya.

“Namun itu satu permulaan dan kami terus maju.”

Lingard, penjarig gol berkata, pemain-pemain United bermain dengan “tenagaa, keseronokan dan keterujaan.”

“Apabila anda mendapat keyakinan, anda meletakkan diri anda pada kedudukan untuk menjaringkan gol. Itulah yang kami buat.

“Kami bermain lebih jauh dan fulbek kami lebih jauh. Kami menekan mereka ke belakang dan mencipta lebih banyak peluang.” – AFP