Gol tunggal pasukan dengan jolokan Black Tigers itu dijaringkan Arash Danial seawal minit ketiga dan kemenangan itu membolehkan SMK Mutiara Impian mengumpul enam mata untuk berada di anak tangga teratas liga menerusi perbezaan jaringan ke atas dua wakil dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) yang turut melakar kemenangan kedua.

SSMP ‘A’ B-14 menewaskan SMK Bukit Indah (Akademi JDT) 2-0 menerusi jaringan Aman Syamim dan Najmudin Akmal manakala SSMP ‘A’ B-13 menewaskan SMK Syed Hassan dari Perlis juga dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Nabil Qayyum dan Shahril Sobri.

Dalam perlawanan di Setiu, Sekolah Sukan Negeri Sembilan, SMK Za’ba membenam cabaran Sekolah Sukan Negeri Terengganu, SMK Bukit Nenas 2-1.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat pasukan bimbi­ngan Mazwan Ab Mansor musim ini sekali gus menebus kecewa kekalahan kepada SSMP ‘A’ B-13 pada aksi pembuka tirai Liga Super KPM 2017 pada 8 April lalu.

“Ketika menentang SSMP, kita bermain bawah kemampuan sebenar mungkin sebab ianya perlawanan pertama dan sama juga seperti Terengganu kerana ini perlawanan pertama mereka jadi mungkin rentak sedikit terganggu, sebaliknya pemain-pemain kami bermain dengan baik walaupun pada awalnya nampak kekok kerana permukaan padang yang keras.

“Walaupun begitu, mereka berjaya menyerap tekanan, bermain dengan baik, mengikut arahan dan mengatur serangan selain menangani asakan Terengganu dengan baik dan saya gembira mereka menunjukkan peningkatan yang ketara pada perlawanan ini,” kata pengurus pasukan SMK Za’ba, Kamal Shahrudin.

Dalam pada itu jurulatih SMK Bukit Nenas, Haslan Ismail berkata: “Kita hanya ada dua sahaja pemain dari skuad tahun lepas, manakala bagi enam pemain lain, ini adalah perlawanan kompetitif pertama mereka. Jadi tahap keyakinan mungkin tidak berapa bagus lagi.

“Apapun saya puji kesungguhan mereka.”