Baru-baru ini, Bibi Ramjani menyuarakan kesediaan untuk melepaskan jawatan Presiden KAFA jika ada individu yang berkemampuan daripada segi kewangan untuk mengambil alih tampuk pimpinan badan tersebut.

Mempunyai ‘jiwa’ bola sepak yang sangat kuat, terutama bola sepak Kelantan membuatkan Amril Aiman terpanggil menawarkan khidmatnya untuk menyelamatkan KAFA yang ketika ini ibarat dipukul badai.

Anak jati Kota Bharu itu, bukan sahaja mempunyai latar belakang kewangan yang kukuh, malah berpengalaman luas dalam bola sepak dan pernah menjadi pengurus skuad Belia Kelantan pada 2017.

Kata Amril Aiman, tujuan utama beliau menawar diri adalah kerana mahu memulihkan semula imej Kelantan yang terpalit dengan pelbagai kontroversi sehingga menjejaskan prestasi, termasuklah tunggakan hutang.

“Saya telah berjumpa de­ngan Bibi Ramjani dan menyatakan hasrat tersebut secara terbuka dalam satu pertemuan di sebuah hotel pada awal bulan ini.

“Dalam pertemuan itu Bibi Ramjani telah mengemukakan syarat iaitu saya perlu membayar balik duit RM5.3 juta. Duit tersebut milik dia dan abang iparnya yang digunakan untuk menguruskan KAFA,” kata Amril Aiman kepada Utusan Malaysia.

Menurut Amril Aiman, beliau komited untuk melangsaikan semua tunggakan hutang KAFA dan mendapatkan dana yang cukup bagi menggerakkan pasukan.

Tegasnya, beliau bukan sekadar cakap kosong sebaliknya serius mahu memastikan The Red Warriors  (TRW) kembali ke landasan sebenar sebagaimana tahun 2010 hingga 2015.

“Dengan semua perancangan yang telah dirangka, saya dan pasukan akan berusaha sebaik mungkin dalam memulih­kan Kelantan terutama dari aspek kewangan.

“Hal ini kerana ia (kewa­ngan) akan menjadi pemang­kin kejayaan itu,” ujarnya.

Amril Aiman berkata, sudah tiba masanya Bibi Ramjani melepaskan jawatan setelah gagal mentadbir KAFA dengan baik.

Katanya lagi, Bibi Ramjani seharusnya bertanggungjawab dengan kegagalan Kelantan, terutama musim lalu.