Setakat ini hanya bekas Pre­siden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang telah mengesahkan diri untuk bertanding manakala tiga lagi calon iaitu pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat masing-masing belum membuat keputusan tetapi ada di antara mereka dijangka menghantar borang pengesahan pada saat-saat akhir.

Annuar sudah memaklumkan beliau tidak akan beranjak daripada keputusan untuk bertan­ding walau siapa pun lawannya kelak, setelah sebelum ini berkata akan menarik diri jika Tunku Ismail atau Khairy turut bersaing.

Pemerhati bola sepak menjangka Tunku Ismail akan menang mudah untuk jawatan Presiden FAM jika bertanding selepas 14 delegasi ahli-ahli gabungan FAM mengadap Sultan Ibrahim dalam misi memujuk TMJ bertanding di Istana Pasir Pe­langi, Johor Bharu, baru-baru ini.

Sementara itu, Khairy berkata akan berjumpa Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin esok tetapi tidak mengesahkan sama ada pertemuan itu untuk beliau menghantar borang pengesahan atau tidak.

“Mungkin esok saya akan berjumpa Setiausaha Agung FAM sebab dia kata kena isi borang. Sama ada nak bertanding atau tidak, tunggulah nanti,” katanya di sini hari ini.

Khairy pernah berkata akan memberi laluan kepada Tunku Ismail sekiranya Tunku Mahkota Johor itu bertanding.

Sementara itu Timbalan Pre­siden Persatuan Bola Sepak Me­laka (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yakin TMJ akan mengemukan borang pencalonannya.

Katanya, Tunku Ismail tidak tidak akan menghampakan permintaan ahli gabungan FAM yang mahu baginda menerajui badan induk bola sepak itu bagi membawa perubahan dan memulihkan imej pasukan kebangsaan.