Malah kata Piya, terdapat dalam kalangan pemain yang turun menjalani latihan lebih awal daripadanya juga menghadapi masalah sama apabila sehingga kini masih belum mendapat gaji selepas lebih dua bulan.

Bagaimanapun, Piya tidak mahu menjadikan isu tersebut sebagai penghalang untuk dia memberikan persembahan terbaik bersama rakan-rakan dalam perlawanan pertama Liga Perdana menentang UKM FC esok.

"Kita tolak tepi dulu (soal) gaji untuk fokus perlawanan esok dengan beri yang terbaik dan pihak pengurusan juga diharap melakukan yang terbaik buat pemain," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Ketika Perlis akan memulakan saingan Liga Perdana menentang UKM FC esok, kemelut yang berlaku itu ternyata mengecewakan ramai pihak khususnya para penyokong yang begitu berharap pasukan dari Utara tanah air itu akan bergerak dengan baik pada musim ini.

Difahamkan sudah dua bulan gaji para pemain skuad Liga Perdana Perlis itu ‘sangkut’.

Dikhabarkan pihak pengurusan sudah beberapa kali menangguhkan pembayaran dengan janji terbaharu bakal dilunaskan esok.

Sebelum ini, Safee mendedahkan beliau ada menghubungi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) kerana belum menerima gaji pertamanya sejak menyertai pasukan itu.

Terdahulu, PFA gagal menunaikan janji untuk melunaskan tunggakan gaji 18 orang pemain Perlis Northern Lion 2 sehingga menyebabkan dalam kalangan mereka terpaksa mencari rezeki dengan menjadi nelayan, buruh dan berniaga.

Bagaimanapun dalam pertemuan antara kedua-dua pihak pada 25 Januari lalu, PFA memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain berkenaan selewat-lewatnya pada 7 Mac depan menerusi peruntukan daripada geran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).- UTUSAN ONLINE