Menjadi sensasi di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam selepas bola sepakan bebasnya melambung ke kiri, melencong ke kanan pada sudut tajam sebelum menerjah gawang Pahang dalam perlawanan Liga Super pada Februari lalu, Mohd. Faiz mengakui prestasinya sedikit terjejas selepas perlawanan berkenaan.

Pemain berusia 29 tahun itu mengakui dia tercari-cari rentak permainan sendiri selepas itu dan kecederaan buku lali yang dihadapinya memburukkan lagi keadaan.

“Selepas melakukan jaringan itu, harapan penyokong Pulau Pinang kepada saya sangat tinggi dan mahu pasukan kami terus mencipta kemenangan demi kemenangan dan keadaan tersebut mula menjejaskan rentak permainan ketika itu, apatah lagi persaingan liga baharu sahaja bermula,” katanya ketika ditemui di sini.

Semalam, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan pemain kelahiran Air Itam, Kedah itu antara dua pemain yang mendapat undian terbanyak untuk mara ke peringkat kedua undian.

Faiz bersama-sama pemain Brazil, Marlone dan calon tunggal wanita Danuiska Rodriguez dari Venezuela akan bersaing merebut anugerah berkenaan dengan pemenang akan diumumkan pada 9 Januari depan di Zurich, Switzerland.

Mereka mengalahkan tujuh calon lain iaitu Lionel Messi (Argentina), Neymar (Barcelona), Mario Gaspar (Sepanyol), Saul Niguez (Atletico Madrid), Hlompho Kekana (Afrika Selatan), Simon Skrabb (Atvidaberg) dan Hal Robson-Kanu (Wales).

Mohd. Faiz, yang pernah beraksi bersama T-Team, berkata, bagaimanapun dia kini sudah pulih daripada populariti yang dikecapi dan fokusnya kini ialah memperbaiki prestasinya bersama skuad Harimau Kumbang untuk musim depan.

“Saya berharap perjalanan karier musim depan berjalan lancar selepas ini dan (Pulau Pinang) kembali bersaing hebat dengan pasukan-pasukan lain,” ujarnya.

Untuk rekod, undian yang dikumpulkan dari pusingan pertama menerusi laman web http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/ akan dibawa ke pusingan kedua yang juga terakhir.