Totti, 42, menyertai Roma ketika berusia 12 tahun sebelum mengumumkan persaraannya sebagai pemain pada 2017 dan kemudian dilantik menjadi Pengarah Sukan.

"Pada pukul 12.41 petang, 17 Jun 2019, saya menghantar emel yang tidak pernah saya bayangkan: Saya menyerahkan peletakan jawatan," kata Totti.

Anggota skuad Itali yang menjuarai Piala Dunia 2006 itu mengharungi 25 tahun yang menakjubkan bersama Roma, namun hubungannya dengan pemilik kelab, James Pallotta tidak berjalan baik.

"Saya berharap hari seperti ini tidak akan berlaku, namun detik buruk dan amat menyukarkan ini tiba juga.

"Ia lebih teruk berbanding ketika saya mengumumkan persaraan sebagai pemain. Meninggalkan Roma membuatkan saya rasa seperti hendak mati. Saya rasa seperti lebih baik mati," ujarnya lagi dengan penuh emosi.

Totti menghabiskan seluruh karier bola sepaknya bersama Roma. Dia membuat penampilan sulung pada 1989, dan sejak itu telah beraksi dalam 786 perlawanan serta meledak 307 gol.

Bekas penyerang skuad Azzurri itu juga membantu Roma muncul juara Serie A pada 2001.

Dia bagaimanapun merasakan dirinya dipinggirkan oleh Palotta dan penasihat kelab, Franco Baldini apabila tidak pernah dilibatkan setiap kali keputusan penting dibuat.

"Tidak sepatutnya wujud kem pro Totti, pro Pallotta atau pro Baldini. Semua adalah penyokong Roma.

"Seperti yang saya katakan, presiden datang dan pergi, jurulatih...pemain datang dan pergi tetapi bendera kami kekal di sini.

"Mereka tahu niat saya dan apa yang saya mahukan, iaitu memberi sumbangan kepada kelab serta pasukan tetapi mereka tidak pernah membenarkan saya melakukannya. Mereka mengetepikan saya dalam setiap keputusan yang dibuat.

"Saya tidak cuba untuk merubah Roma, namun sekurang-kurangnya benarkanlah saya memberi sumbangan. Banyak janji ditabur tetapi hanya segelintir ditunaikan.

"Sebagai penyokong saya sangat kecewa kerana sebagai penyokong, impian saya hanya mahu melihat Roma bersaing di peringkat tertinggi," katanya lagi. - AGENSI