Keputusan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Selatan mengutip 27 mata selepas mengharungi 11 perlawanan untuk berada di puncak liga iaitu perbezaan dua mata dengan Pahang di tangga kedua.

Keputusan seri tersebut turut menyaksikan JDT dan Pahang masing-masing masih mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga perlawanan penutup pusingan pertama Liga Super musim ini.

Pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi gerakan pemain importnya, Gonzalo Cabrera pada minit kelima yang menghukum kelemahan benteng tuan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Jaringan berkenaan tidak melemahkan semangat skuad Tok Gajah untuk memburu jaringan penyamaan yang hadir pada minit ke-35 menerusi tandukan pemain pertahanan importnya, Herold Goulon yang berpunca daripada sepakan percuma Saddil Ramdani.

JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua selepas Mauricio Nascimento mengutip kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran terhadap Dickson Nwakaeme pada penghujung separuh masa pertama permainan.

Layangan kad merah itu membuatkan perlawanan terhenti seketika kerana Nascimento tidak berpuas hati dan mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan, Mohd. Zohri Tajuddin.

Pahang bagaimanapun gagal memanfaatkan peluang kekurangan seorang pemain JDT sepanjang separuh masa kedua permainan selepas buntu menambah jaringan sehingga wisel tamat permainan ditiupkan.

Peluang keemasan skuad Tok Gajah untuk memenangi perlawanan itu hadir tujuh minit sebelum permainan tamat namun bola sepakan Jose Eduardo di hadapan pintu gawang yang terbuka melepasi palang gol. - UTUSAN ONLINE