Selepas dikaitkan dengan Pahang, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab Indonesia, Persija Jakarta sejak beberapa minggu lalu, bintang tengah Kosovo itu hari ini diperkenalkan oleh Melaka.

Dia menyertai tiga pemain lain - Jang Suk Won (pertahanan, Korea Selatan), Darko Markovic (tengah, Montenegro) serta pe­nyerang Anselmo Casagrande dari Brazil.

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat turut menandatangani perjanjian pe­nyambungan kontrak.

Liridon, 27, yang mesra disapa Mat Don percaya, pengalaman tiga musim beraksi dalam Liga M bersama Kedah mampu membantunya memberi aksi terbaik di Melaka.

“Selama beberapa tahun bersama Kedah, kami membina pasukan secara perlahan-lahan selama beberapa tahun, sebelum ­akhirnya membentuk skuad terbaik. Semua itu perlukan masa.

“Saya fikir, Melaka United mempunyai pasukan yang bagus. Saya sedar skuad kami berwajah baharu dan baru membentuk keserasian tetapi saya percaya kami sempat berada dalam keadaan terbaik menje­lang liga bermula.

“Ini adalah minggu pertama saya di sini, jadi sasaran utama saya adalah mengetuai pasukan, membantu mereka untuk muncul...meraih keputusan maksimum,” katanya, yang menandatangani kontrak setahun.

Majlis menandatangani kontrak lima pemain berkenaan diadakan di pejabat Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di Seri Ne­geri dan turut dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan.

"Harapan besar kita agar Melaka United menjadi pasukan terbaik kerana saya yakin komitmen ditunjukkan persatuan dan gandingan jurulatih serta pemain ini membolehkan kita menjadi antara pasukan yang terbaik.

“Mungkin ramai yang melihat Melaka United kini dibarisi pemain berpengalaman dan ternama tetapi untuk muncul sebagai pasukan yang hebat kita memerlukan sekurang-kurangnya satu musim,” kata Adly.