Sebanyak 6,000 keping tiket masing-masing iaitu 5,000 di tempat duduk terbuka dan bakinya di tempat berbumbung, mula dijual secara dalam talian sejak pukul 1 petang tadi.

Para penyokong boleh membeli tiket berkenaan menerusi aplikasi Stubapp yang boleh dimuat naik di Google Play atau di Apps Store.

Tiket masing-masing dijual dengan harga RM15 bagi tempat duduk astaka, RM10, tempat duduk terbuka dan RM5 bagi kanak-kanak. Difahamkan sambutan jualan tiket sehingga kini memberangsangkan.

Selepas lebih sedekad melalui musim suram, gelanggang keramat Singa Utara yang sunyi sepi sebelum ini kembali bergegar dengan kehadiran puluhan ribu penyokong yang hadir bagi menyaksikan perlawanan persahabatan baru-baru ini iaitu antara Perlis dan Kedah di Stadium Tuanku Syed Putra.

Meskipun hanya perlawanan pemanas badan, para penyokong yang hadir ke stadium bagi memberikan sokongan itu, begitu teruja untuk menyaksikan wajah baharu Singa Utara yang diperkuatkan ramai pemain bintang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, musim depan.

Malah difahamkan penyokong pada hari berkenaan terpaksa beratur lebih dua kilometer untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan tiket pada perlawanan tersebut. - UTUSAN ONLINE