Penjaring gol terbanyak Liverpool itu terbaring kaku selepas dia berlaga dengan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka dan sekarang Salah terpaksa diketepikan pada ketika Reds terdesak untuk mengatasi keputusan tiga gol defisit menentang Barcelona.

Persatuan Bola Sepak (FA) England dan Liga Perdana Inggeris telah menetapkan garis panduan yang mana Salah perlu mematuhi peraturan untuk direhatkan selama enam hari daripada bola sepak, jadi dia hanya akan kembali beraksi dalam perlawanan terakhir, musim ini, menentang Wolverhampton Wanderers.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melaporkan pemain itu berada dalam keadaan baik.

Sememangnya tidak dapat dipertikaikan, bahawa ketiadaan Salah amat dirasai. Liverpool telahpun kehilangan Roberto Firmino dan Naby Keita, di mana kedua-dua pemain berkenaan mengalami kecederaan otot dan Klopp sendiri mengakui, amat sukar buat pasukannya untuk menyumbat empat gol menentang Barcelona yang dibarisi bintang ternama.

“Dia mengalami gegaran di kepala dan ini bermakna Salah tidak dibenarkan bermain. Dia berada dalam keadaan baik, tetapi dari sudut pandangan perubatan kondisi Salah tidak berapa bagus. Dia terdesak, tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa.

“Situasinya kami ketinggalan 0-3 di Barcelona, cukup jelas keadaan tersebut bukanlah apa yang kami mahukan. Anda tidak boleh beraksi menentang Barcelona dan memberitahu kepada dunia saksikan kami dan selepas 10 minit kami berjaya menyamakan kedudukan.

“Kami cuba mencatat kemenangan. Jika ada peluang untuk ke peringkat seterusnya, kami akan cuba. Sehingga ke saat itu kami hanya perlu mencuba dan mencatat kemenangan, itu yang akan kami lakukan.

“Musim ini panjang, tetapi peluang untuk kami menjadikannya lebih panjang tidak ada. Kami masih ada dua perlawanan di laman sendiri dalam musim yang cukup mengagumkan ini, dan saya rasa, kami perlu meraikannya dengan persembahan yang baik di dalam padang dan begitu juga mereka yang berada di tempat duduk penonton. Ia sudah pasti menarik,” kata Klopp.

Klopp juga enggan terperangkap dengan sejarah lampau Liverpool yang terkenal dengan kebangkitan semula dan pengendali Reds itu tidak mahu dikaitkan dengan sebarang soalan yang menjurus kepada tajuk berita sedemikian.

Warga Jerman itu amat menghormati Barcelona dan mengakui bahawa peluang Liverpool ke perlawanan akhir adalah sangat tipis. Bagaimanapun, Klopp menjanjikan skuad bimbingannya akan mempamerkan persembahan menyerang dan sanggup melakukan apa sahaja pada pertemuan itu nanti. - AGENSI