Perkembangan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang masih gagal melunaskan gaji para pemain dan barisan kejurulatihan sejak tiga bulan lalu.

Dijangka lebih ramai pemain termasuk Mohd. Badri Radzi atau Piya bakal mengangkat kaki meninggalkan Singa Utara yang sedang beraksi dalam Liga Perdana ketika ini.

Safee dalam status Facebooknya hari ini berkata, beliau membuat keputusan untuk tidak lagi bersama Perlis selepas mendapati pihak pengurusan gagal memainkan peranan dengan baik.

Katanya, keputusan itu juga bertujuan memberi pengajaran kepada PFA yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan berhati perut.

“Segala yang saya curahkan dengan ikhlas memang tidak ada maknanya bagi pihak pengurusan. Pemain dan barisan kejurulatihan sudah bagi yang terbaik sama ada dalam latihan mahupun dalam perlawanan.

“Sayang memang sayang tapi keputusan saya tekad demi memberi pengajaran kepada pengurusan yang tidak berperikemanusiaan dan tiada berhati perut.

“Sudah banyak pengorbanan pihak jurulatih dan pemain lakukan... Mungkin ini jalan yg terbaik buat masa sekarang. Kita hanya boleh merancang tapi memang pasti Allah SWT yang tentukan segalanya.. Selamat tinggal kuning biru, terima kasih banyak, atas semua kenangan,” katanya.

Semalam, jurulatih bawah 17 tahun Perlis, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengumumkan peletakan jawatan atas faktor tidak tahan dengan sikap PFA yang sehingga kini masih gagal melunaskan gaji.

Perkembangan tersebut menyaksikan masa depan Perlis untuk melakar kejayaan dalam Liga Perdana musim ini semakin gelap selepas gagal menyelesaikan gaji pemain dan barisan kejurulatihan sejak Disember lalu. - UTUSAN ONLINE