Artis tersebut Emanuel Santos mempertahankan hasil karyanya selepas mendapat kritikan daripada orang ramai di laman sosial mengenai kedutan dan raut wajah patung tersebut yang melucukan sewaktu diperkenalkan kepada umum di lapangan terbang antarabangsa Madeira semalam.

Hanya rambut patung itu sahaja yang dilihat sama de­ngan gaya rambut Ronaldo manakala ciri lain­nya kelihatan ganjil dan melucukan sehingga ramai pengguna laman sosial menjadikan karya Santos itu sebagai bahan jenaka.

Bagaimanapun, Santos berkata dia tidak menerima respon negatif termasuk daripada Ronaldo sendiri.

“Saya mempunyai peluang untuk bercakap de­ngan Cristiano Ronaldo dan dia memberi­tahu amat menyukainya,” kata Santos, 40.

Bagaimanapun, Santos me­ngakui bahawa Ronaldo hanya meminta dia melakukan beberapa perubahan kecil sebelum patung itu dipertontonkan kepada umum.

“Cristiano hanya meminta saya melakukan sedikit per­ubahan pada kedutan yang nampak seperti tua selain menampakkan wajahnya seperti gembira,” katanya.

Santos berkata, dia perlu melakukan ukiran berdasarkan rujukan daripada gambar yang menyebabkan tugasnya menjadi sukar.

“Untuk membuat patung yang menyamai seorang yang terkenal seperti Ronaldo adalah sesuatu yang mencabar ter­utama apabila anda tidak mendapat ukuran yang sepatutnya.

“Setiap kerja tertakluk kepada pengkritik, anda tidak boleh menyenangkan rakyat Greece dan Trojan, sebuah arca ialah sebuah arca, satu salinan foto ialah satu salinan foto,” tegasnya.

Ketika majlis menamakan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Madeira sempena nama Ronaldo, dianggarkan lima ribu peminat pemain Real Madrid itu hadir selain Perdana Menteri Portugal.

Bandar tersebut telah pun mempunyai sebuah muzium dan patung gangsa sebagai tanda penghormatan terhadap Ronaldo di bandar kelahirannya Funchal. – AFP