Pasangan Michal Pazdan dan Kamil Glik di bahagian pertahanan Poland bakal berdepan dengan cabaran paling getir apabila menentang Portugal dalam pertembungan peringkat suku akhir di Marseille.

Ronaldo kini adalah satu-satunya pemain yang menjaringkan gol dalam empat Kejohanan Eropah yang berbeza sejak tahun 2004 dan meskipun memulakan Euro 2016 dengan aksi kurang meyakinkan, kini penyerang itu sudah menunjukkan beberapa petanda dirinya yang sebenar sudah kembali.

Dalam perlawanan menentang Hungary, Ronaldo menjaringkan dua gol dan merancang dua daripada tiga gol pasukannya, namun paling menyerlah ketika menewaskan Croatia di peringkat 16 pasukan terakhir apabila terlibat dengan gol yang dijaringkan Ricardo Quaresma pada masa tambahan.

Namun, Poland adalah pasukan yang mantap di bahagian pertahanan apabila mereka hanya dibolosi satu gol setakat ini.

Jerman pun tidak mampu menembusi pertahanan Poland apabila mereka terikat 0-0 dalam pertemuan di peringkat kumpulan meskipun skuad Die Mannschaft menurunkan Mario Goetze dalam kesebelasan utama.

Poland juga tidak berdepan dengan sebarang masalah ketika menentang Ireland Utara dan Ukraine, namun jaringan Xherdan Shaqiri untuk Switzerland sedikit membimbangkan pertahanan pasukan itu, namun kekal teguh hingga ke penentuan sepakan penalti.

Bahagian pertahanan Poland perlu mempamerkan aksi terbaik mereka seperti dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini kerana bahagian serangan tidak begitu memberi sumbangan kepada pasukan itu apabila hanya menjaringkan dua gol setakat ini.

Prestasi Robert Lewandowski seharusnya membimbangkan kerana mencatatkan dua percubaan tepat sahaja setakat ini, namun dapat mengembalikan keyakinan diri menerusi jaringannya dalam penentuan sepakan penalti ketika berdepan Switzerland.

“Kami tiada masalah walaupun Robert Lewandowski belum menjaringkan gol setakat ini.

“Dia telah menjalankan tugasnya dengan bagus untuk pasukan kami. Kami adalah pasukan yang saling memahami dengan baik dan tahu apa yang bagus untuk pasukan,” kata jurulatih Poland, Adam Nawalka.

Pemenang bakal berdepan dengan Wales atau Begium di peringkat separuh akhir.

Portugal pula mendapat banyak masa untuk memulihkan tenaga selepas mengerah keringat hingga ke masa tambahan sewaktu menumpaskan Croatia 1-0.

Penjaring gol kemenangan ke atas Croatia, Quaresma tentunya berharap jaringan itu akan meletakkannya ke dalam kesebelasan utama setelah bermula dari bangku pemain simpanan sebelum ini.

Begitu juga dengan Renato Sanches, yang memberikan sesuatu yang amat diperlukan oleh bahagian tengah Portugal iaitu dorongan dan kepantasan.

“Kadang kala anda perlu bersikap pragmatik. Memang bagus jika dapat bermain dengan cantik tetapi bukan begitu cara yang selalunya membuatkan anda memenangi kejohanan.

“Kami sebelum ini menentang pasukan yang menakjubkan (Croatia) dan perlawanan itu sangat sengit,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos. –AGENSI