Ia juga adalah kemenangan liga ke-12 berturut-turut buat Reds, sekali gus menyamai rekod yang dicatat kelab pada 1990.

Liverpool adalah satu-satunya pasukan yang memenangi semua perlawanan musim ini untuk kekal di tangga teratas liga dengan tiga mata mengatasi Arsenal.

Dalam aksi di Anfield, Joel Matip meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan padu pada minit ke-41 iaitu jaringannya yang kelima bersama Reds.

Anak-anak buah Juergen Klopp tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan apabila Salah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-49.

Reds dihadiahkan penalti selepas David Luis bertindak menarik baju penyerang Mesir itu. Dia turut dilayangkan kad kuning.

Selang sembilan minit kemudian, Salah menjaringkan gol peribadi keduanya apabila melakukan larian solo dari bahagian kanan sebelum menewaskan penjaga gol lawan, Bernd Leno.

Hasrat Liverpool untuk tidak dibolosi buat kali pertama musim ini bagaimanapun gagal selepas Lucas Torreira meledak gol saguhati Gunners pada minit ke-85.

"Ia adalah perlawanan yang amat sukar kerana kami menentang sebuah pasukan berkualiti yang bertahan dengan baik.

"Apabila pasukan sebagus Arsenal meletakkan lapan pemain dalam kotak penalti, memang sukar hendak menembusi benteng mereka," kata Matip kepada Sky Sports. - AGENSI