Yusri berkata, keputusan itu amat melegakan dirinya biarpun barisan pemainnya sedikit ‘goyang’ selepas gagal mempertahankan kelebihan jaringan yang diperoleh pada perlawanan tersebut.

“Sungguhpun malam ini kita mendapat gol awal, namun pemain saya agak ‘goyang’ sehingga membenarkan tuan rumah menghasilkan jaringan penyamaan.

“Situasi ‘bola mati’ sekali lagi menjadi menghalang untuk kami mendapat mata penuh. Walau bagaimanapun saya gembira pemain tetap beraksi dengan cemerlang walaupun dalam serba kekurangan (pemain import),” katanya.

Pada perlawanan itu gol Kelantan dihasilkan oleh Nik Azli Nik Alias (minit ketiga) dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (minit ke-22) sementara Ahmad Takhiyuddin Roslan meledakan dua jaringan buat TFC II (minit kesembilan, minit ke-68) untuk mengikat kedudukan 2-2.

Yusri memberitahu, keputusan malam tadi itu juga menjadi tonik terbaik buatnya untuk mengharungi tiga aksi di Kota Bharu selepas Aidilfitri nanti.

Katanya, dia akan terus memperkasakan pasukan dalam usaha membebaskan TRW keluar dari kedudukan tercorot ketika ini.

Selepas mengharungi 14 perlawanan Kelantan mengumpul sembilan mata dan hanya dipisahkan satu mata dengan pasukan Serawak.-UTUSAN ONLINE.