Penyerang Denmark, Martin Braithwaite meledakkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-30, selepas dia menyumbat bola ke gawang sewaktu situasi kelam kabut di depan pintu gol apabila tandukan pemain pinjaman dari Middlesbrough itu mengenai palang.

Leganes meneruskan asakan untuk mencari gol kedua yang mampu menghidupkan peluang mereka untuk kembali bersaing, tetapi setiap percubaan berjaya dinafikan penjaga gol Real, Keylor Navas.

Pemain remaja Real, Brahim Diaz mempersiakan satu peluang terbuka pada lewat permainan untuk gol sulungnya bersama juara Eropah itu sejak berpindah dari Manchester City. Dia mengambil masa terlalu lama bagi melepaskan rembatannya selepas meneri­ma hantaran Vinicius Jr., namun, sepakannya tersasar.

Jurulatih Real, Solari menyenaraikan pemain tengah, Isco yang telah lama dipinggirkan ke dalam kesebelasan utama, apabila pemain Brazil, Marcelo diketepikan selepas Los Blancos sekadar meraih kemenangan tipis 1-2 di Real Betis dalam aksi La Liga. Dalam pertemuan itu, Solari merehatkan beberapa pemain utamanya.

Solari, yang ditimpa kekalahan keempat dalam semua pertandingan sejak mengambil alih pasukan daripada Julen Lopetegui yang dipecat penghujung Oktober lalu, tidak menyembunyikan perasaan kecewa terhadap persembahan skuad bimbingannya itu.

“Persembahan yang dipa­mer­kan sangat lemah, teruta­ma­nya dalam babak pertama. Bagaimanapun, tetap mara ke peringkat seterusnya, beberapa pemain yang jarang dapat beraksi diberi peluang bermain, tetapi kami gagal beraksi dengan baik,” katanya. – REUTERS