Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, FAM akan mengambil tindakan tegas termasuk hukuman penggantungan seumur hidup kepada pemain yang didapati bersalah.

Menurut beliau, perkara itu termaktub dalam peraturan FAM dan akan dilaksanakan bagi melindungi bola sepak negara daripada dicemari unsur tidak sihat.

“Bagaimanapun saya berharap orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) ketika ini kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan siasatan, jadi kita perlu menghormati proses berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melawat bekas pemain kebangsaan, V. Krishnasamy yang sedang dirawat di sebuah pusat rawatan swasta di sini akibat dibetis.

FAS sebelum ini membuat laporan kepada SPRM selepas mengesyaki wujudnya unsur mengatur perlawanan selepas pasukan Bujang Senang mempamerkan prestasi hambar termasuk tewas 2-3 kepada Felcra FC di tempat sendiri walaupun mendahuli 2-0 sehingga separuh masa kedua.

Bagaimanapun, tindakan FAS diselar penyokong skuad Ngap Sayop dan keluarga pemain yang dikaitkan kerana mendakwa tindakan itu merupakan cubaan FAS untuk menutup kelemahan pengurusan mereka. - UTUSAN ONLINE