Mohd. Rashid berkata, beliau mengikuti perkembangan skuad bimbingan Ashley Westwood itu yang masih gagal meraih kemenangan setelah mengharungi lapan perlawanan Liga Super.

Katanya, jika diberikan peluang untuk menggantikan Zairil Khir Johari, beliau sudah mempunyai perancangan untuk me­ngubah nasib pasukan berkenaan berdasarkan pengalamannya dalam bola sepak.

“Saya memahami keluhan penyokong setia yang bimbang de­ngan prestasi pasukan ketika ini.

“Sekiranya diberi peluang, saya akan memanggil beberapa bekas pemain Pulau Pinang termasuk penyerang legenda Merzagua Abderrazak untuk menyumbang idea bagi membaiki nasib pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Zairil dan Westwood menerima desakan daripada penyokong setia Haria Penang Haria supaya melepaskan jawatan kerana prestasi buruk pasukan berkenaan yang menghuni anak tangga tercorot liga ketika ini.

Bagaimanapun, Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan sambil menyalahkan penyokong kerana bertindak agresif menyebabkan pemain skuad berkenaan tertekan.

Mengulas lanjut Mohd. Rashid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, berkata beliau yakin skuad Westwood masih boleh diselamatkan dan masih mempunyai penyokong.

“Bagaimanapun, keputusan untuk membimbing FAP terpulang kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng,” katanya.