Dalam tempoh enam tahun di Anfield, Benitez membawa Liverpool menjulang kejuaraan Eropah 2005 tetapi dia dipecat pada 2010 ekoran kegagalan kelab itu melayakkan diri ke Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Ketika liga musim ini berbaki dua perlawanan, Reds berada pada kedudukan tidak selesa - satu mata di belakang pendahulu, Manchester City, malah berada di ambang penyingkiran Liga Juara-Juara ekoran kekalahan 0-3 kepada Barcelona pada separuh akhir pertama, semalam.

“Saya tahu, sesetengah orang akan berkata Rafael Benitez pasti bantu Liverpool tetapi saya tidak fikir itu akan berlaku.

“Sesiapa sahaja yang meng­anggap Newcastle akan memberi laluan kepada Liverpool, mereka sama sekali silap.

“Ini mungkin perlawanan terakhir Rafael bersama Newcastle di St James’s Park, jadi berjaya mengalahkan Manchester City dan Liverpool di tempat sendiri, musim ini pasti akan meninggalkan kenangan hebat,” kata bekas pertahanan Liverpool dan Ireland, Mark Lawrenson.

Bintang te­ngah Newcastle, Ki Sung-yueng pula percaya, anak-anak buah Jurgen Klopp kini lebih tertekan dan The Magpies perlu memanfaatkan situasi itu.

“Ia adalah perlawanan sukar dan bakal menarik tontonan tinggi kerana Liverpool akan melakukan apa sahaja untuk menang.

“Mereka amat tertekan ketika ini dan pasti cuba memberi tekanan kepada kami dari awal permainan,” ujar Sung-yueng.

Pada ketika City hanya akan menentang Leicester, Isnin ini, Liverpool bakal mengambil alih teraju liga buat sementara jika menumpaskan kelab bimbingan bekas jurulatih kesayangan mereka. – AGENSI