Pengurus pasukannya, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah mengatur perlawanan persahabatan menentang kelab dari Thailand, Songkla FC pada 1 Februari ini sebelum bertemu Terengganu pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Bandaraya.

"Kejayaan melangkah ke pusingan kedua telah membuktikan bahawa kami serius untuk kembali memeriahkan saingan utama bola sepak tempatan setelah hilang sekian lama.

" Bagaimanapun, saya sedar saingan sengit yang bakal dihadapi oleh kami. Jadi, atas faktor itulah, persiapan bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi memastikan sasaran untuk mara ke peringkat suku akhir berjaya dicapai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam aksi di kubu kuat lawan iaitu Stadium Hang Jebat pada Jumaat lalu, skuad kendalian Merzagua Abderrazak bangkit dari ketinggalan untuk menyingkirkan PDRM dengan keputusan 2-1.

Menurut Mohd. Azizudin, sebelum bertemu PDRM, pemainnya melalui beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk dengan kelab PSSM Medan, di Indonesia.

"Kami juga akan memulakan kempen Liga FAM pada 17 Februari ini bertemu Kuantan FC dan kembalinya pemain yang pulih dari kecederaan seperti Daniel Fazly yang berpengalaman luas sudah pasti akan menguatkan lagi jentera serangan pasukan.

"Perlawanan pusingan kedua bertemu Terengganu sangat penting kerana mereka merupakan bekas juara Piala FA dan dibarisi ramai pemain hebat," katanya.

Kali terakhir Pulau Pinang menjulang Piala FA ialah pada 2002 dengan menewaskan Perak 1-0 dan ia juga merupakan kejayaan terakhir mereka sebelum mengalami zaman kejatuhan.