Dalam aksi di Gelora Bung Karno, semalam, Malaysia meraih tiga mata penting selepas menundukkan Indonesia 3-2.

Dalam insiden itu, dua penyokong Malaysia cedera akibat terkena balingan objek selain diserang oleh sekumpulan penyokong Indonesia di stadium berkenaan.

Penyokong Malaysia juga terpaksa mendapatkan perlindungan daripada pihak polis selama beberapa jam selepas tamat permainan sebelum dibenarkan pulang ke hotel.

Kesemua penyokong Malaysia yang cedera telah pun mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Jakarta.

Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria mengakui kecewa dengan insiden yang berlaku kerana ketika ini Indonesia sedang melobi untuk menjadi calon tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 tahun 2021.

“Kami sangat kecewa dengan perkara ini terutama ketika aksi Kelayakan Pala Dunia kerana ini merupakan kali pertama Indonesia beraksi selepas tamat hukuman daripada FIFA.

“Jangan jadikan alasan terlalu sayangkan bola sepak sebagai alasan untuk melanggar peraturan.

“Kami harus terima apa sahaja keputusan. Kalau salah, kami terima sahaja hukuman itu,” katanya seperti dipetik daripada kompas.com.-UTUSAN ONLINE