Berpuluh ribu penyokong membanjiri jalan-jalan di Lisbon sambil mengibarkan bendera kebangsaan mereka sebagai tanda meraikan kemenangan bersejarah setelah pemain gantian Eder menjaringkan gol beberapa minit sebelum tamat masa tambahan untuk menundukkan pasukan tuan rumah Perancis dalam perlawanan akhir di Stade de France.

Bintang Real Madrid, Ronaldo terpaksa dikeluarkan pada awal perlawanan tersebut kerana mengalami kecederaan dan meskipun menangis kerana hal itu, dia akhirnya dapat memeluk trofi kejohanan dalam perjalanan pulang ke tanah air dengan menaiki kapal terbang.

Dua buah trak menyemburkan air berwarna bendera negara hijau dan merah ke atas kapal terbang yang dinaiki oleh pasukan Portugal setibanya mereka di lapangan terbang.

“Kami semua tidak dapat tidur yang mencukupi, ini adalah kejuaraan pertama kami, maka kami perlu berada di sini,” kata seorang penyokong Antonio Ribeiro de Magalhaes, 21.

Pertahanan Portugal, Pepe yang membawa turun piala kejohanan itu daripada kapal terbang yang dinaiki mereka menjadi individu terakhir menaiki bas tidak berbumbung yang ditulis ‘Juara’ dalam perarakan itu.

“Kami berjaya melakar sejarah untuk Portugal, terima kasih untuk segala-galanya,” jerit pemain terbaik dunia tiga kali Ronaldo kepada para penyokong.

Pasukan itu disambut oleh Presiden Portugal, Marcelo Rebelo de Sousa dengan Ronaldo mempamerkan piala kejohanan kepada penyokong dari beranda bangunan rasmi kerajaan negara itu.

“Andalah yang terbaik di Eropah! Anda telah memberi contoh kepada semua orang di sini dengan menjuarai kejohanan bersama dengan semangat, keazaman dan sikap merendah diri,” kata de Sousa yang mengenakan pingat Commander of Order of Merit kepada pasukan Portugal.

Sementara itu, Ronaldo turut memberitahu, dia berasa amat sedih kerana tidak mampu beraksi penuh dalam final menentang Perancis, tetapi gembira dengan keputusan di akhir perlawanan.

“Bukannya final seperti yang saya mahukan tetapi akhirnya saya amat gembira. Piala ini adalah untuk seluruh rakyat Portugal, mereka yang menetap di negara ini dan mereka yang percaya kepada pasukan. Saya amat gembira dan berbangga dengan kejayaan ini,” katanya. – AFP