Meskipun Crotia mengejutkan juara bertahan Sepanyol 2-1 tetapi Portugal juga bangkit daripada ketinggalan sebanyak tiga kali untuk mengikat Hungary 3-3 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F di Lyon, Rabu lalu.

Malah bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, yang gagal menjaringkan gol ketika Portugal diikat 1-1 dan seri tanpa jaringan dengan Austria, menemukan sentuhannya dalam perlawanan itu dengan menjaringkan dua gol pada babak kedua untuk menyelamatkan pasukannya daripada tersingkir awal.

Santos juga yakin dengan keupayaan Ronaldo, yang muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam empat Kejohanan Eropah, mampu memimpin pasukan memenangi perlawanan ‘siri akhir’ sekali gus berada dalam laluan terbaik untuk mencapai kejuaraan pertama Portugal.

“Ronaldo adalah penjaring dan pemenang, dia bermain di depan untuk menjaringkan gol. Saya yakin prestasi ini akan meningkatkan keyakinannya dalam usaha kami untuk memenangi pertandingan.

“Semuanya adalah berbeza sekarang kerana setiap perlawanan yang berikut adalah seperti perlawanan akhir, tidak ada ruang untuk melakukan kesilapan. Kami mahu memenangi setiap perlawanan dan meneruskan langkah pemburuan kejuaraan.

“Kami perlu mencapai keseimbangan yang tepat antara pertahanan dan serangan kerana apabila kita tampil ke hadapan kita meninggalkan terlalu banyak jurang di belakang,” kata Santos selepas penyerang Real Madrid itu dipilih pemain terbaik perlawanan ketika menentang Hungary.

Crotia yang bangkit daripada ketinggalan untuik menewaskan Sepanyol ketika jurulatihnya Ante Cacic hanya menurunkan barisan kedua dalam perlawanan itu menyaksikan penyerang Nikola Kalinic dan beberapa pemain simpanan lain beraksi dengan cemerlang.

Kalinic yang diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama untuk mengisi posisi yang sepatutnya milik Mario Mandzukic, membalas kepercayaan diberikan jurulatih apabila menjaringkan gol penyamaan sebelum Ivan Perisic menjaringkan gol kemenangan pada penghujung permainan.

“Kami boleh melepasi peringkat 16 terbaik ini dengan mudah ketika bertemu Portugal sekiranya kami bermain seperti yang dipamerkan ketika peringkat kumpulan. Kami mempunyai peluang besar untuk mara,” kata Kalinic dalam sidang akhbar di Deauville yang menjadi pangkalan Croatia. 
– REUTERS