Mohd. Badhri atau Piya, 37, berkata, keputusan untuk kembali ke Kelantan dibuat setelah terpaut dengan kesungguhan Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd menyelesaikan segala masalah berkaitan tuntutan gajinya sebelum ini.

Menurutnya, dia tidak meletakkan sebarang syarat sebaliknya mahu beraksi sebaik mungkin untuk mengembalikan semula kehebatan pasukan TRW sebagai salah satu gergasi bola sepak negara sebelum ini.

“Saya berterima kasih Ketua Pegawai Eksekutif KRW Ahmad Fadli Mohammad dan Orrisa Baharom kerana sudi mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul sebelum ini.

“Sebagai tanda terima kasih diatas komitmen KRW Sdn. Bhd saya membuat keputusan untuk kembali beraksi bersama Kelantan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kembali semula Piya ke pangkuan TRW dijangka mampu memberikan nafas baharu dibahagian tengah pasukan ketika ini.

Musim 2018 menjadi detik hitam buat pemain berjersi No.16 itu apabila dia digugurkan secara mengejut oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada pertegahan musim.

Pengguguran itu sekaligus menenggelamkan karier anak kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu dalam arena bola sepak.

Bagaimanapun, karier bekas pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013 kembali bernyawa apabila Perlis melamarnya untuk memperkuatkan pasukan itu bagi musim 2019.

Namun Perlis disingkirkan dari saingan Liga Primier ekoran masalah kewangan yang kronik.

Musim 2012, Piya antara salah seorang tonggak yang membantu Kelantan merangkul kejuaraan tiga piala. - UTUSAN ONLINE