Pemain antarabangsa Sepanyol itu menyempurnakan jaringan hasil sepakan percuma Neymar pada minit ke-32 bagi melakar kemenangan 3-2 untuk kelab gergasi Catalan itu di depan 66,014 penyokong yang memenuhi Stadium Hard Rock.

Lionel Messi, yang mempamerkan persembahan menakjubkan sepanjang 64 minit dia beraksi, menjaringkan gol pembukaan seawal minit ketiga dan Ivan Rakitic menyumbat gol kedua tidak lama selepas itu.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Zinedine Zidane pantas bangkit daripada aksi hambar dan dihujung babak pertama, jaringan daripada Mateo Kovacic serta Marco Asensio telah mengikat kedudukan menjadi 2-2.

Apa yang lebih menarik dalam perlawanan persahabatan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan menghiburkan sebelum Pique meledakkan gol yang membawa kepada kemenangan Barca.

Bagaimanapun, keputusan perlawanan tersebut tidak memberi sebarang makna kerana ia hanya merupakan aksi persahabatan dan apa yang pasti tidak memberi sebarang kesan kepada rekod keseluruhan antara kedua-dua seteru lama itu.

Real masih memegang rekod dengan 93 kemenangan berbanding 91 diraih Barcelona yang mana pertemuan terkini kedua-dua pasukan berpihak kepada kelab Catalan itu hasil jaringan lewat permainan oleh Messi, yang turut meledakkan gol ke-500.

Bagaimanapun, Real muncul sebagai pemenang Mei lalu, setelah merangkul gelaran La Liga dan juga Liga Juara-Juara. Namun, kekalahan yang menimpa Real dalam aksi pertunjukan itu bukanlah yang pertama setelah Los Blancos turut kecundang kepada Manchester United dan Manchester City di Los Angeles, sebelum ini.

Sementara Barca pula menewaskan United dan Juventus dalam pertandingan persahabatan Piala Juara-Juara Antarabangsa, walaupun kelab itu kini dibelenggu dengan situasi yang menyelubungi Neymar setelah Paris Saint-Germain bersedia melancarkan bidaan sebanyak 218 juta euro (RM1.09 bilion).

Neymar disenaraikan di dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Ernesto Valverde itu dan sementara rakan sepasukannya pulang ke Sepanyol, dia sebaliknya perlu terbang ke China bagi memenuhi tanggungjawab komersial untuk pihak kelab. Dalam sidang akhbar selepas perlawanan, Valverde enggan mengulas lanjut mengenai Neymar.

“Saya selalunya bercakap tentang perkara yang telah berlaku berbanding isu yang belum terjadi. Kami akan terus menunggu. Daripada perspektif saya, kami masih mempunyai Neymar di dalam pasukan, kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya. – AFP