Negara kecil yang langsung tidak diletakkan harapan itu sebelum ini mengagumkan banyak pihak tetapi kemudiannya mendapati pengalaman cetek di peringkat antarabangsa menyekat mereka untuk pergi lebih jauh kali ini.

Bagaimanapun Tunisia yang jauh lebih berpengalaman dipaksa menunggu hingga babak kedua untuk mula membolosi gawang Madagascar dengan gol pembukaan dijaringkan Ferjani Sassi sebelum Youssef Msakni menggandakan jaringan pada minit ke-60.

Ketika Madagascar terkial-kial mencari jalan untuk bangkit, Naim Sliti menamatkan sisa perjuangan mereka dengan gol ketiga pada masa kecederaan untuk membawa Tunisia ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2004.

Tunisia yang turut muncul juara pada tahun sama ketika itu akan menentang Senegal selepas ini manakala satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Algeria bertemu Nigeria untuk mencari tiket ke final.

Terdahulu Algeria yang menjadi pasukan ketiga ke separuh akhir mara selepas menewaskan Ivory Coast 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit permainan sebenar dan masa tambahan.

Algeria lebih dulu membuka jaringan menerusi Sofiane Feghouli pada minit ke-20 sebelum kelebihan itu dinafikan Ivory Coast menerusi gol penyamaan Jonathan Kodjia pada minit ke-62.

Ketika penentuan penalti dilakukan, ketua pasukan Ivory Coast, Serey Die sendiri gagal menyempurnakan sepakan terakhir membolehkan Algeria mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2010. - AFP