Rezal yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan berkata, PFAM sudah membuat pertemuan bersama Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan mereka berjanji akan menyelesaikan tunggakan serta mengadakan perbincangan dengan pemain secepat yang mungkin, namun, perkara tersebut tidak berlaku.

“PFAM sangat kecewa dan terkilan dengan situasi sebegini. Ini menunjukkan pasukan selalu ambil mudah tentang urusan bola sepak terutamanya membabitkan hal kebajikan pemain. Pasukan masih mempunyai mentaliti bahawa pemain bukannya aset dan boleh biarkan nasib pemain begitu sahaja.

“Melihat kepada persiapan pasukan yang nampak gah tetapi hakikatnya hutang yang tidak berbayar, ini sangat mengecewakan. PFAM percaya hal ini akan terus berulang dan kita akan disajikan kisah yang sama pada penghujung tahun 2019,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan nasib dialami oleh 18 pemain Singa Utara yang ibarat digantung tidak bertali kerana masih belum menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA.

Bagaimanapun, PFA menegaskan, bahawa badan induk bola sepak negeri itu tidak pernah mengambil sikap lepas tangan berhubung isu tunggakan gaji membabitkan 18 orang pemain Singa Utara.

Rezal turut memberitahu, pemain Perlis sudah membuat laporan secara rasmi, bagaimanapun, PFAM masih menunggu jawapan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan berdasarkan laporan tersebut jumlah tunggakan secara keseluruhan pemain bagi 2017 dan 2018 hampir mencecah RM1 juta.

“Kes ini sudah dibawa ke peringkat Jawatankuasa Status (FAM). Namun pasukan masih tidak membuat bayaran dan status terkini, kita sedang menunggu FAM mengeluarkan keputusan Tatatertib bagi kes tuntutan pemain Perlis,” katanya.

Dalam pada itu, Rezal turut mencadangkan agar PFA dikenakan hukuman yang setimpal sekiranya masalah tunggakan gaji tersebut masih berlarutan.

“Hukuman seperti penolakan geran tahunan, mata liga dan pasukan diharamkan untuk mendaftar pemain baharu terutamanya import wajar dikenakan. Bukan sahaja pasukan, malah, individu dalam pasukan seperti presiden juga perlu dikenakan tindakan seperti disenarai hitam daripada terlibat dalam kancah bola sepak tempatan.

“Di peringkat mahkamah pula, hukuman seperti pembekuan akaun dan aset serta pengisytiharan muflis dan larangan ke luar negara juga boleh dipertimbangkan,” katanya lagi.