Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie menegaskan, tidak timbul isu berbangkit setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama dan menandatangani kontrak berkaitannya.

Beliau walau bagaimanapun enggan menyatakan butiran kontrak tersebut kerana menghormati perjanjian agar perkara berkenaan tidak didedahkan.

"Dalam perjanjian (kontrak) itu, 95 peratus pemain yang merupakan anak Perlis ditawarkan bermain (dan bergaji) bersama pasukan Singa Utara pada musim depan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas berkenaan laporan media hari ini berhubung keresahan para pemain PFA musim 2018 yang tidak terpilih mengikuti sesi latihan bagi musim depan yang dikatakan sudah pun bermula.

Perkara itu turut menyebabkan kemungkinan tunggakan gaji mereka selama enam bulan yang dipersetujui bersama sebelum ini, tidak dibayar.

Ahmad Amizal Shaifit turut menolak andaian bahawa para pemain tidak dipanggil menjalani latihan kerana sesi berkenaan hanya akan bermula pada minggu hadapan.

"Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada kapten pasukan dan pemain mengetahuinya dengan jelas," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menguruskan pembentukan pasukan utama terlebih dahulu yang diikuti Perlis Nothern Lions 2, Belia, Presiden dan Singa Muda.

Dalam pada itu, Ahmad Amizal Shaifit mengesahkan bahawa empat nama besar dalam bola sepak iaitu Mohamad Azmi Muslim; Amirizdwan Taj Tajuddin; Mohd. Khyril Muhaimin dan Armizi Azmi telah menandatangani kontrak untuk bermain dengan pasukan Singa Utara.

"Mohd. Badhri Radzi atau Piya dan Safee Sali turut berada dalam radar kita dan berharap kedua-duanya dapat menyertai PFA," katanya. - UTUSAN ONLINE