Sehubungan itu, presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie akan mengemukakan rayuan terhadap badan induk itu agar mengkaji semula keputusan yang disifatkan tidak adil itu.

Katanya, situasi yang melanda Perlis berbeza dengan Kuantan FA sebelum ini yang gagal menyertai perlawanan sebaliknya Singa Utara masih mampu meneruskan saingan.

"Kita tidak jangka dengan keputusan ini dan cukup kecewa. Kita hanya sangkut gaji dua bulan selain mempunyai pelan strategik dalam menjana sumber kewangan untuk pasukan.

"Sangkut dua bulan gaji terus singkir, itu keputusan yang cukup mengejutkan. Kita akan buat rayuan kepada MFL dalam isu ini," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan PFA pada 18 Februari lalu.

Berdasarkan dokumen berkenaan, MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Sebelum keputusan itu dibuat, Ahmad Amizal sempat memaklumkan bahawa beliau yakin membawa Perlis bersaingan dalam Liga Perdana meskipun beberapa pemain bintang termasuk Safee Sali sudah angkat kaki. - UTUSAN ONLINE