Bagi Peru, ia bukan hanya setakat satu kemenangan tetapi juga lebih manis daripada itu adalah kejayaan membalas dendam selepas kalah di final Copa America pada Julai lalu.

Luis Abram yang beraksi di Argentina muncul wira Peru apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan yang menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan pada lewat permainan. Peru sebelum ini kalah 1-3 di final Copa America.

Terdahulu walaupun jurulatih Brazil, Tite memasukkan Neymar pada minit ke-63 menggantikan Roberto Firmino, ia masih gagal membantu mencari gol yang diperlukan sebelum Abram meledakkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Bintang Paris Saint Germain itu dilihat gagal mendapat sokongan daripada rakan sepasukan lain ketika menyerang menyebabkan rentak biasa mereka sedikit terencat. Brazil juga turun tanpa dua tonggak pertahanan iaitu Dani Alves dan Thiago Silva. - AFP