Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie menegaskan beliau juga tidak pasti mengapa dalam kalangan pemain membangkitkan soal tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan berusaha membantu menyelesaikan tunggakan itu meskipun masalah tersebut dilakukan kepemimpinan terdahulu.

“Di dalam kontrak akan dibayar pada Januari ini dan selepas itu akan dibayar secara bulanan sehingga habis tunggakan. Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu kerana Perlis ketika ini dalam proses membangunkan semula sukan bola sepak di negeri ini.

“Rakyat dan penyokong di negeri ini begitu teruja dengan pembaharuan yang cuba dilakukan oleh PFA dan diharap usaha tersebut disokong,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam menafikan bahawa badan pengelola Liga Malaysia itu sudah memberi kebenaran kepada Perlis untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Menurut Kevin, status pasukan-pasukan yang akan beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Perdana musim depan hanya akan diketahui paling awal pada hari ini, setelah mengadakan pertemuan dengan beberapa pasukan yang berpotensi mengisi kekosongan satu slot dalam Liga Super dan dua slot dalam Liga Perdana.

Antara syarat-syarat yang diletakkan untuk sesebuah pasukan itu dibenarkan menyertai Liga Perdana adalah membabitkan soal kewangan yang kukuh termasuk menyelesaikan tunggakan gaji.

Sementara itu, Ahmad Amizal yakin Perlis akan dibenarkan beraksi dalam Liga Perdana musim depan dan pihaknya sudah bersedia sepenuhnya.

“Apa-apa pun kita tunggu pengumuman rasmi mengenainya,” katanya.

Perlis melakukan perubahan besar-besaran bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan termasuk telah membawa masuk ramai pemain bintang seperti Safee Sali; Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya selain sedang berusaha mendapatkan Akhyar Rashid.- UTUSAN ONLINE