Perkara itu diumumkan oleh PFA menerusi laman Facebook rasminya di sini hari ini, yang turut memaklumkan beberapa nama telah disenarai pendek oleh persatuan itu termasuk jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe yang kini menjadi ejen bebas.

“Pengurusan PFA sedang mencari pengarah bola sepak yang baharu bagi membantu pasukan menghadapi Liga Perdana 2019.

“Beberapa nama telah disenarai pendek dan Tan Cheng Hoe juga berada dalam pemerhatian PFA kerana beliau kini adalah ejen bebas ekoran kontraknya yang masih belum disambung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” kata kenyataan itu.

Perlis yang sekian lama menyepi dalam arena bola sepak negara nampaknya begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara yang pernah menjadi antara kuasa bola sepak negara.

Antara pemain bintang yang sudah mengesahkan untuk bersama Perlis bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan ialah Safee Sali; Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya; Khyril Muhymeen; Azmi Muslim dan Amiridzwan Taj Tajudin.

Malah baru-baru ini, Perlis juga berjaya mengikat pemain skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman bagi memperkuatkan jentera serangan Singa Utara. - UTUSAN ONLINE