Dalam aksi menarik itu, Safee berjaya membuka tirai jaringan Perlis seawal minit ke-16 apabila bijak menyempurnakan hantaran pemain import, Valci Teixeira Junior gagal diselamatkan penjaga gol pasukan pelawat, Muhammad Jheha.

Kegembiraan Perlis tidak bertahan lama, apabila Pattani FC menyamakan kedudukan selang dua minit kemudian apabila Akraphol Meesawad bijak mengambil kesempatan hasil pergelutan di hadapan pintu gol tuan rumah.

Perlis terus menggandakan asakan dan sekali lagi berada di depan apabila rembatan kencang Safee di dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-29 berjaya menerjah gawang.

Bagaimanapun kelemahan di bahagian pertahanan yang diketuai Amiridwan Taj Tajuddin sekali lagi menghukum Perlis apabila Kwonuk Seo berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34.

Sebelum menutup separuh masa pertama, Perlis kembali berada di hadapan menerusi jaringan Mohd. Hafizi

Amiruddin pada minit ke-37 dan kedudukan 3-2 itu kekal sehingga berakhir babak pertama.

Perlis tidak menunggu lama pada separuh masa kedua untuk melebarkan kedudukan apabila tolakan mudah pemain import, Kelvin Osei hasil hantaran Mohd. Badri Radhi atau Piya berjaya memperdayakan Muhammad pada minit ke-46.

Singa Utara terus melipatgandakan asakan ke kubu pasukan pelawat untuk menambah jaringan bagaimanapun beberapa peluang terhidang disia-sia jentera serangan tuan rumah.

Pattani FC yang hanya beberapa kali melancarkan serangan bagaimanapun berjaya menambah satu lagi jaringan pada minit ke-70 sekali gus menjadikan kedudukan 4-3 sehingga tamat permainan. - UTUSAN ONLINE